Lelaki warga tempatan bergelang putih KKM hendak pergi baiki motosikal ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dalam kejadian di Damansara Utama semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk membaiki motosikal di bengkel ditahan polis kerana ingkar arahan kuarantin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada 4 November lalu sekitar jam 4 petang di Damansara Utama.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Damansara berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun di tepi Jalan SS21/34.

“Semasa pemeriksaan, suspek memakai gelang berwarna putih KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan hendak pergi membaiki motosikal di bengkel berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Nik Ezanee, dia diberi jaminan polis dan dilepaskan dan siasatan lanjut akan dibuat semula ke atas inividu itu selepas tempoh kuarantinnya tamat iaitu 14 hari.

“Polis memberi amaran kepada mereka yang dikenakan kuarantin KKM agar mematuhi araha tersebut dari Pejabat Kesihatan Daerah dan KKM.

“Kita akan sentiasa memastikan orang mematuhi SOP dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi serta enggan memberi kerjasama,” tegasnya.- MalaysiaGazette