Megat D.Shahriman Zaharudin (tengah) bersama peguam yang mewakilinya, Mohd Zhafri Aminurashid (kiri) dalam Sidang Media Khas Hockademy di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR –  Pemilik Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin tidak akan teragak-agak mencabar keputusan penggantungan 18 bulan yang dikenakan ke atas dirinya oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi menuntut keadilan.

Beliau menegaskan akan menggunakan prosedur dan saluran yang betul selaras dengan klausa-klausa yang terdapat di dalam perlembagaan KHM.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini sehingga ke peringkat Judicial Comission Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH) dan CAS selaras dengan Klausa 47 dan 48 perlembagaan MHC.

“Berkaitan dengan hukuman dan prosedur tatatertib yang dikenakan terhadap saya jelas menunjukkan sesuatu yang sangat pelik dan aneh serta menimbulkan pelbagai persoalan berdasarkan fakta-fakta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Megat berkata, dakwaan yang dikenakan ke atas dirinya berkaitan tuntutan pembayaran hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia (LHM) tanpa membabitkan apa-apa serangan peribadi terhadap mana-mana individu mahupun pentadbiran KHM.

“Saya bertindak untuk membuat kenyataan media selepas KHM gagal untuk menjawab surat rasmi kami pada tarikh 15 April 2020 dan 27 Mei 2020 berkaitan pembayaran duit kemenangan Liga Hoki Malaysia.

“KHM sebaliknya hanya menjawab menerusi surat pekeliling kepada semua pasukan dan tidak spesifik kepada surat yang dihantar oleh pihak Datuk Seri,” katanya.

Semalam, KHM mengenakan penggantungan selama 18 bulan ke atas Megat daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Eksekutif KHM yang bermesyuarat bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin KHM yang mendapati pemilik kelab Hockademy itu melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib MHL.

Megat menambah, merujuk kepada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya  antara lainnya adalah berkaitan dengan tindakan menulis surat kepada penaja-penaja Liga Hoki Malaysia 2020 iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Qnet (M) Sdn. Bhd. (Qnet) bertarikh 1 Jun
lalu.

Jelas beliau, surat itu untuk mendapatkan kepastian sama ada KHM telah menerima wang penajaan daripada penaja-penaja untuk mengetahui status sebenar hadiah kemenangan setelah tidak menerima apa-apa jawapan rasmi daripada pihak
KHM selepas hampir empat bulan tamatnya kejohanan tersebut.

“Berdasarkan kepada Klausa 6 (ii) MHL Tournament Code of Conduct 2020 jelas menunjukkan bahawa surat tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai kenyataan awam (Public Statement) kerana surat tersebut telah dihantar khusus kepada penaja-penaja dan bukannya hebahan kepada orang awam.

“Malah semasa prosiding Jawatankuasa Tatatertib KHM berlangsung pada 19 September lalu, peguam-peguam yang dilantik untuk mewakili saya di dalam prosiding tersebut telah dihalang untuk berhujah bagi pihak saya.

“Ianya jelas bertentangan dengan prinsip Natural Justice dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Saya juga sebenarnya telahpun digantung oleh Lembaga Eksekutif KHM bermula dari 7 September 2020 iaitu sebelum tarikh pendengaran prosiding Jawatankuasa Tatatertib KHM yang berlangsung pada 19 September 2020.

“Ini juga secara jelas menunjukkan bahawa keputusan Jawatankuasa Tatatertib KHM sudah boleh dijangka,” katanya.

Sementara itu, Megat berkata beliau menghormati tindakan KHM itu tetapi akan akan menggunakan saluran yang ada bagi mendapat keadilan yang sewajarnya.

Katanya, hukuman itu tidak akan sesekali mematahkan semangat dan cintanya terhadap sukan hoki

“Saya buat semua ini demi hoki dan tiada kepentingan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KHM gantung Megat Shahriman 18 bulan