Seorang kakitangan Air Selangor menjalani ujian Swab Test Covid-19 yang dilakukan secara berperingkat mulai semalam. Pix: Air Selangor

KUALA LUMPUR – Lebih 4,900 warga kerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalani saringan Covid-19 secara berperingkat mulai semalam.

Kesemua mereka menjalani ujian itu di ibu pejabat dan semua pejabat wilayah, demikian menurut agensi berkenaan hari ini.

Menurutnya, saringan dikendalikan BP Healthcare yang dilantik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan terbahagi kepada dua kumpulan bagi memastikan tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

“Sesi pertama melibatkan 3,231 warga kerja barisan hadapan didahului Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman serta pengurusan kanan, pegawai pembaca meter, pegawai kaunter khidmat pelanggan dan polis bantuan yang bermula semalam hingga 12 November.

“Manakala sesi kumpulan kedua bagi 1,757 warga kerja selebihnya akan dijalankan pada minggu ketiga November,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, kerjasama dengan Perkeso melalui Program Saringan Prihatin (PSP) adalah sebagai langkah menangani penularan jangkitan seterusnya menjamin keselamatan dan kesihatan warga kerja serta pelanggan.

Air Selangor juga menubuhkan pasukan khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar pada 12 Mac lalu untuk membantu warga kerja berkongsi maklumat terkini serta menjawab sebarang pertanyaan mengenai Covid-19.

“Pasukan ini sudah menjalankan proses sanitasi dan nyahkuman mengikut SOP dan menggunakan syarikat sanitasi yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Katanya lagi, Air Selangor juga sentiasa memastikan pematuhan terhadap peraturan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggannya. – Malaysiagazette