Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara.

Majlis ini akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.

Menteri Kewangan berkata, agensi LAKSANA akan bertanggungjawab memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah Perkeso yang dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan.

Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan kepada 40% daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20%, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60%.

Bagi sektor bergantung tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan insentif khas sebanyak 60% daripada gaji bulanan disediakan dengan 40% disalurkan terus kepada majikan dan 20% kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

Tengku Zafrul berkata, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan.

Bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional. – MalaysiaGazette