Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi pengumuman Belanjawan 2021 menarik perhatian Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi Facebook, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menyatakan tertarik dengan Skim bantuan Sara Hidup (BSH) yang telah ditukar namanya kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Di bawah BSH, yang layak dikategorikan sebagai orang bujang mesti berumur 40 tahun ke atas untuk dapat bantuan khas RM250.

“Namun, di bawah BPR, bujang kini diturunkan kepada umur 21 tahun ke atas dengan bantuan ditambah kepada RM350,” katanya.

Dengan pengumuman itu Asyraf Wajdi menyindir, tiada lagi istilah ‘bujang lapuk’ atau ‘bujang terlajak’ sebagaimana yang berlaku di zaman pentadbiran Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menyentuh mengenai langkah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mengumumkan pembayaran sebanyak RM50 secara one-off yang akan dikreditkan ke dalam E-Wallet untuk 1.5 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah mencadangkan agar bantuan bulanan RM50 sebulan selama setahun yang dikreditkan ke E-Wallet untuk membantu belia di Universiti Awam (UA) dan swasta untuk membeli data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara online.

Bagaimanapun katanya, cadangan tersebut menjadi di sebaliknya apabila kerajaan hanya mahu mengkreditkan bayaran itu untuk sekali bayar. – MalaysiaGazette