Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Kluster Bah Puchong telah tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Kata beliau, sehingga hari ini, seramai 88 orang telah disaring, 14 kes dikesan positif Covid-19 dan baki 74 orang adalah negatif.

“Kadar positiviti bagi kluster ini adalah 15.91 peratus. Tiada kematian dilaporkan dalam kluster ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19  hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, terdapat empat kluster baharu telah dikenal pasti melibatkan empat negeri.

Jelas beliau, Kluster Softwood LD melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-34,985 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

Kluster kedua adalah Teratai Kluster melibatkan Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di Selangor di mana indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-35,263 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

Kluster seterusnya adalah Tapak Bina Damanlela melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong, dan Titiwangsa dan Kuala Lumpur.

“Kluster baharu terakhir adalah Mahkota melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor; Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur, Sibu di Sarawak dan Putrajaya.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-32,385 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat pada 30 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya. – MalaysiaGazette