Casemiro (kiri) dan Eden Hazard (tengah).

MADRID – Kem Real Madrid menerima kejutan apabila dua pemain utamanya, Eden Hazard dan Casemiro disahkan dijangkiti wabak Covid-19 dan akan terlepas perlawanan selepas ini.

Real dalam pengumuman di laman web rasmi kelab tersebut mengesahkan pemain sayap Belgium dan pemain tengah Brazil itu perlu menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing sebelum dibenarkan kembali beraksi.
Keputusan saringan itu malang buat Hazard yang baru sahaja kembali daripada kecederaan selepas terlepas sebahagian besar aksi musim 2020/21 selepas dia hanya tampil dalam tiga perlawanan sahaja setakat ini.

Casemiro pula setakat ini tidak pernah terlepas sebarang perlawanan bersama Los Blancos dan dilaporkan turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun kelab tersebut mengesahkan pemain-pemain lain sudah disahkan negatif dan boleh meneruskan perlawanan pada minggu ini.

Semua pemain lain dan staf kejurulatihan untuk skuad utama termasuk semua pekerja kelab telah menunjukkan keputusan negatif selepas menjalani ujian saringan.

Sebelum ini, seorang lagi pemain Brazil Eder Militao telah disahkan positif dan terlepas perlawanan berdepan Inter Milan dan saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Selasa lalu.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu dijangka terus mengekalkan Lucas Vasquez di posisi pertahanan kanan selepas tiga pilihan lain Dani Carvajal, Alvaro Morata dan Nacho Fernandez semuanya belum pulih dari kecederaan.

Real kini berada di tangga kedua liga selepas tujuh perlawanan dengan 16 mata, satu mata di belakang pendahulu Real Sociedad yang beraksi lebih satu perlawanan. – MalaysiaGazette