Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharom.

KUALA LUMPUR – Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharom selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves hari ini.

Allahyarham salah seorang daripada dua mangsa nahas helikopter di Taman Melawati pada Ahad lalu.

Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharom selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves hari ini.

Seorang lagi ialah Allahyarham Mohd Irfan Mohamed Rawi.

Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyifatkan pemergian Mohd Sabri satu kehilangan besar kepada negara kerana arwah telah berkhidmat kira-kira 30 tahun dalam tentera.

Namun bagi salah seorang rakan baiknya, Datuk Zulkifli Buang, Mohd Sabri bukan sahaja pemandu kapal terbang yang hebat dalam tentera malah arwah pada mudanya merupakan perenang negara mewakili TLDM.

Gambar Allahyarham Mohd Sabri (kiri) bersama Zulkifli semasa zaman kanak-kanak di kawasan perumahan di Jalan Semarak.

Lebih mengesankan, arwah juga seorang yang taat kepada ibu bapa dan sepanjang hayatnya. Dia tinggal bersama ibunya, Che Intan Omar yang kini berusia 75 tahun dan sudah uzurĀ  terutama selepas ayahnya, Baharom Ismail meninggal dunia.

“Dia (Mohd Sabri) sudah berusia 56 tahun dan tidak berkahwin semata-mata kerana mahu menjaga arwah bapa dan ibunya.

“Mengenali bapa dan ibunya seperti ibu bapa saya sendiri dengan hidup mereka yang sentiasa menempuh cabaran kesusahan.

“Beliau tidur bersama ibunya sehingga ke akhir hayat dan mendukung ibunya di belakangnya jika mahu ke mana sekali pun.

“Sebelum kemalangan, pagi selepas Subuh dia sempat membeli sarapan untuknya ibunya dan meninggalkan duit kepada ibunya,” kata Zulkifli kepada Malaysia Gazette hari ini.

Datuk Zulkifli Buang.

Pada hari kejadian, Zulkifli berjumpa sendiri dan mengucapkan takziah kepada ibu Mohd Sabri.

Menurut Zulkifli, dia membesar bersama arwah kerana mereka tinggal berdekatan di Jalan Semarak di sini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Helikopter terhempas di Taman Melawati