Gambar hiasan.

KAJANG – Polis mengambil keterangan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM), Professor Ir. Dr. Abdul Aziz Bin Abdul Raman hari ini bagi membantu siasatan kenyataan  pelajar universiti itu yang didakwa mencabar kuasa Yang DiPertuan Agong (YDPA).

Sumber memberitahu, pasukan penyiasat polis telah ke Universiti Malaya (UM) untuk bertemu Abdul Aziz.

“Kita ada sesi perjumpaan dan rakam keterangan daripada TNC UM Prof. Dr Abdul Aziz pukul 3 petang pada 9 November 2020 (hari ini) selepas selesai sesi ambil keterangan AJK persatuan itu di sebelah tengahari di IPD Kajang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya dalam proses memanggil Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Muhammad Haziq Afzar Ishak untuk mengambil keterangan berhubung kes tersebut.

Pada pagi ini, enam Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengenai kenyataan Presiden persatuan itu, Yap Wei Qin mencabar kuasa YDPA.

Sumber itu memberitahu, enam individu terbabit telah selesai memberi keterangan dengan masing-masing diwakili peguam manakala tujuh individu akan dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sehingga kini 70 laporan polis diterima ke atas UMANY bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan bertindak tegas dalam perkara itu. – MalaysiaGazette

Wei Qin pertikai tindakan polis ambil keterangan 6 AJK UMANY