lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Laman media sosial Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) ‘diserang’ oleh netizen yang marah dan tidak puas hati ekoran henti tugas di Loji Rawatan Air Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3 yang menyebabkan berlakunya sekali lagi gangguan bekalan air di Lembah Klang.

‘Serangan’ bertubi-tubi di Twitter itu menyusul selepas pihak Air Selangor mengumumkan perkara itu hari ini.

Pemilik akaun @faizfadzil seperti contoh meminta Air Selangor memberi jadual gangguan air sekali untuk tiga bulan akan datang.

Seorang netizen yang menggunakan akaun @hilla_killa88 pula menyindir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dengan menulis; “Cepat la @AmirudinShari tak sabar nak tunggu gambar bau air ni”.

@MizzHananHashim pula berkata; Tukar please management. Meluat, muak la tiap bulan nak kena hadap masalah yang sama.. ingat rakyat ini tempat uji kaji ke? Air bersih air kotor.. negeri je maju tapi masalah air sentiasa ada.. maju celah mana?

Kamarul @malrockstar pula secara sinis bertanya; ”@air_selangor
UNBELIEVEABLE…………………….Memang wajib tiap-tiap bulan takda air ke macam mana?”.

Pemegang akaun @chikaroman berkata; Hurray, Karvinal Bulanan Air Selangor kembali lagi!

Dalam tempoh 29 minit, sebanyak 1,600 komen dimuat turun dalam Twitter Air Selangor.

Jika difikirkan, kemarahan orang ramai ada logiknya memandangkan masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran terlalu kerap berlaku.

Malah, gangguan itu dilihat sebagai satu ‘acara’ kemestian setiap bulan.

Bulan lalu henti tugas berlaku sebanyak dua kali membabitkan hampir 1.2 juta pengguna.

Rasa marah dan tidak puas hati timbul kerana setiap kali gangguan bekalan air, ia mengambil masa sehingga lima hari untuk disalurkan semula.

Masalah lebih besar pula apabila Air Selangor tidak menghantar air untuk diagihkan kepada pengguna yang terpaksa mendapatkan air di pili-pili yang disediakan.

Air Selangor dalam pengumumannya berkata, henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 12.45 tengahari, 10 November 2020.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

Henti tugas keempat-empat loji itu dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup pada jam 6 petang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gangguan bekalan air sekali lagi di Lembah Klang