KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan cedera di hidung dan mulut selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kilometer 20 Jalan Kuala Lumpur-Seremban dekat Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan berlaku pukul 7.35 malam apabila sebuah kereta jenis Proton Gen 2 melanggar lampu isyarat warna merah menyebabkan penghantar makanan terbabit tidak dapat mengawal motosikalnya sebelum merempuh bahagian kiri kenderaan tersebut.

“Hasil maklumat dan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang telah melanggar lampu isyarat untuk membelok ke kanan.

“Kemudian telah datang sebuah motosikal jenis Yamaha 150ZR dari arah bertentangan yang mengikut aliran trafik mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kiri kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, pihaknya telah mengunjungi penunggang motosikal terbabit di hospital dan mendapati mangsa mengalami kecederaa pada bahagian hidung dan mulut yang telah berjahit.

Ujarnya, penunggang motosikal itu juga berada dalam keadaan yang stabil.

Katanya lagi, sehingga kini pemandu dan juga penunggang motosikal terbabit masih belum membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Armiza Husien.

Terdahulu, video mengenai rakaman kemalangan tersebut tular di laman Facebook. – MalaysiaGazette