Mila Jirin.

KUALA LUMPUR – Usahawan dan penyanyi Mila Jirin berharap kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang mereka dengan bersyarat.

Jelas pemilik nama penuh Norsyarmilla Jirin itu, kerajaan mungkin boleh menggunakan antaranya kaedah pelaksanaan moratorium dalam membenarkan pengeluaran itu dilakukan.

“Mereka minta duit KWSP mereka bukan untuk bersuka ria. Wahai kerajaan tolong bantu mereka yang amat memerlukan.

“Muhyiddin Yassin, saya mencadangkan mereka yang nak keluarkan duit mereka ikut cara moratorium. Contohnya bagi bukti memang pendapatan mereka merosot, gaji dipotong dan diberhentikan kerja atau apa sahajalah yang difikirkan baik,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

KWSP pula dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran Akaun 1 yang disasarkan seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Mengulas lanjut, Mila, 32, berkata, rakyat ketika ini semakin terjejas dek Covid-19 dan mungkin usaha dilakukan kerajaan itu boleh memudahkan ahli KWSP mula berniaga secara kecil-kecilan.

“Asalkan dapat bagi sedikit dana mungkin boleh dijadikan start up (permulaan) mereka berniaga kecil-kecilan.

“Bantulah mereka wahai kerajaan… rakyat sedang susah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.