KUALA LUMPUR – Empat lokaliti yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan pelaksanaannya mulai jam 12.01 tengah malam ini.
Lokaliti itu ialah Penjara Reman dan Kuarters Reman di Pulau Pinang, Pangsa Puri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan seminggu sebelum tarikh tamat mendapati kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan.
“Atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di keempat empat lokaliti ini.
“Bezanya, Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah ditamat sebelum tempoh kerana KKM hanya menunggu keputusan sampel saringan yang diterimanya agak lewat.
“Apabila keputusan sampel itu diterima dan menunjukkan semua kes negatif, maka penamatan PKPD ditetapkan tengah malam ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.
Mengenai kes ingkar PKPB, Ismail Sabri menyatakan, seramai 536 individu ditahan, dengan 527 dikenakan kompaun, lapan direman dan seorang dijamin.
Mereka ditahan kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi aktiviti kelab malam dan tidak memakai pelitup muka.
Bagi Ops Benteng pula, katanya, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan, dengan lima penyeludup ditangkap dan enam kenderaan darat dirampas. – MalaysiaGazette
















