Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berkata, walaupun MRSM menawarkan pendidikan berkualiti, tetapi ramai pelajar bukan bumiputera tidak sedar bahawa kuota sebanyak 10 peratus telah diperuntukkan kepada kaum bukan bumiputera sejak 2002.
Sivarasa Rasiah

KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak puas hati dengan komposisi mereka dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang bakal diwujudkan oleh Dewan Rakyat.

Mereka mahu jumlah keahlian dalam beberapa jawatankuasa berkenaan tidak menggunakan kaedah sebagaimana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana keahlian dari kerajaan dua pertiga, manakala pembangkang satu pertiga.

Sebaliknya, mereka mahu kedudukan lima, empat atau lapan, tujuh iaitu lima kerajaan, empat pembangkang.

Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh – PKR) berkata, pembangkang pada dasarnya bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa itu, tetapi komposisi keahlian perlu dikaji semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika menjawab ketidakpuasan hati pembangkang itu berkata, mereka boleh kemukakan cadangan itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk diteliti.

“Saya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menambahbaik cadangan dan pandangan dari pembangkang. Mereka boleh kemukakan kepada Speaker nanti.

“Untuk makluman, jawatankuasa khas ini diletakkan bawah Jawatankuasa Dewan Rakyat yang bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan ini.

“Sebenarnya, mengikut perancangan, ada jawatankuasa ini bakal melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.

Fuziah Salleh

Sementara itu, Fuziah Salleh (Kuantan-PKR) mencadangkan kerajaan memasukkan kesaksamaan gender dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak kerana istilah itu tidak ada.

“Sedangkan kesaksamaan gender ini penting kalau kita mahu bercakap mengenai hal ehwal wanita dan kanak-kanak.

“Gender ini istilah antarabangsa, tetapi kita ketinggalan mengenainya. Oleh itu, saya mohon dimasukkan dalam istilah jawatankuasa khas ini,” katanya.

Mujahid Yusof

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (Parit Buntar-Amanah) pula bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti, tetapi pastikan peranannya benar-benar bebas, bukan dikawal oleh pihak berkepentingan.

“Saya alu-alukan penubuhannya. Saya mahu jawatankuasa khas ini bebas dan dapat memberikan pandangan yang berkesan.

“Bila kita letakkan terma kebebasan pada jawatan ini, ia perlu dirujuk dan dirunding semula untuk mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette