Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar responden memilih agar kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menurut Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI.

Dalam kaji selidik melibatkan 1,143 orang responden itu, 71% (812 orang) daripadanya memilih Ya dan 29% (331 orang) lagi memilih Tidak.

Daripada 812 responden yang memilih Ya, 66.4 % mahu kebenaran pengeluaran diberikan secara meluas kepada semua penyimpan sementara selebihnya memilih diberikan kepada mereka yang dibuang kerja atau dipotong gaji (23.2%) dan pekerja yang dibuang kerja (10.5%).

Keputusan kaji selidik kali ini turut dinilai melalui demografi responden di mana responden dari kawasan luar bandar dan pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM4,849 (B40) mencatatkan angka persetujuan yang tinggi agar kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 itu.

Manakala sebanyak 90.8% responden daripada kawasan luar bandar dan 81.1% responden dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,849 (B40) cenderung memilih Ya.

Sementara 71% responden dari kawasan separa bandar dan 67% daripada kawasan bandar memilih Ya selebihnya memilih Tidak.

Universiti UCSI berkata, responden yang menyertai kaji selidik ini berusia antara 26 tahun hingga 55 tahun yang tinggal di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

Bagi pendapatan isi rumah pula, 59.1% responden yang berpendapatan isi rumah antara RM4,850 hingga RM10,959 (M40) dan 54.9% responden yang pendapatan isi rumahnya melebihi RM10,960 (T20) memilih Ya.

Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI mendapati hasrat kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 itu wajar diperhalusi lagi dengan menimbangkan kategori-kategori lain yang turut memerlukan.

Ini termasuk golongan yang tinggal di luar bandar, keperluan dan pendapatan isi rumah. – MalaysiaGazette