Finas menutup premisnya di Hulu Klang bagi proses sanitasi.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) digesa menyenaraikan semua syarikat yang menerima geran atau dana peruntukan daripada pihaknya bagi menangani isu penyelewengan dalam kalangan pemain industri perfileman.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli yang membuat gesaan itu berkata, senarai berkenaan juga perlu dimaklumkan secara terbuka di laman web Finas secara terperinci bagi tujuan semakan dan mengenal pasti syarikat produksi atau penggiat seni yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

“Penerima dan syarikat yang gagal perlu didakwa di mahkamah serta dituntut membayar balik jumlah geran yang diperolehi dan tindakan yang sama perlu diambil terhadap individu yang bertanggungjawab dalam setiap projek yang bermasalah sama ada beliau pengarah syarikat atau rakan kongsi atau seumpamanya.

“PTVM sedia bekerjasama dengan Finas untuk menyenarai hitam keahlian, sama ada syarikat produksi atau individu (penggiat seni), sekiranya didapati mereka tidak bertanggungjawab setelah diberi peluang menerima geran Finas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurey Latiff berkata, satu sistem pengredan juga perlu dilaksanakan bagi mengukur pengalaman dan keupayaan syarikat penerbitan dalam menghasilkan filem yang dijanjikan.

Selain itu beliau juga mencadangkan agar dana penerbitan untuk program televisyen hanya boleh diberi setelah syarikat menunjuk surat persetujuan dari mana-mana penyiar tempatan untuk menyiarkan program yang dirancang.

Baru-baru ini, Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata RM30 juta dana filem telah diseleweng oleh beberapa pemain industri demi kepentingan peribadi dan mereka didapati gagal menghasilkan filem kenegaraan seperti yang dijanjikan. – Bernama