Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menafikan dakwaan media kononnya lebih 30,000 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menutup operasinya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Sebaliknya, menurut Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, jumlah itu merangkumi keseluruhan syarikat dan perniagaan bermula 18 Mac hingga September lalu.

Kata beliau, merujuk kepada jawapan bertulis Parlimen pada 5 November lalu, MEDAC menyatakan, berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi bermula 18 Mac sehingga 9 Jun lalu adalah 9,675 syarikat.

“Manakala bagi tempoh 10 Jun sehingga September 2020 pula sebanyak 22,794 syarikat, juga telah menutup operasi masing-masing.

“Jadi, laporan Malaysiakini pada 11 November berhubung “Lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang bermula pada Mac lalu” adalah adalah tidak tepat.

“Kenyataan ini menunujukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, ianya bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi, tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dr. Wan Junaidi bagaimanapun berkata, berdasarkan data dikeluarkan SSM, bermula 1 April hingga 19 Julai lalu, sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan.

Katanya, ini menunjukkan dalam situasi semasa Covid-19, ianya tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan.

“Tetapi mereka perlu mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan.

“Kementerian saya sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan usahawan sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi situasi semasa penularan wabak Covid-19 dengan beberapa langkah ditetapkan,” katanya.

Antara langkah itu ialah bersiap sedia kemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan the new way of doing business.

Mereka juga ujarnya, perlu adaptasi perniagaan dengan norma baharu kehidupan, perkasakan perniagaan melalui digitalization dan perhebatkan strategi promosi.

Selain itu, PKS disaran mengekalkan data maklumat pelanggan, mengekalkan perhubungan dengan pelanggan, mengekalkan jenama produk mereka supaya pelanggan tidak melupakan produk itu selepas tempoh PKP.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.medac.gov.my atau hubungi talian 1-300-88-1020. – MalaysiaGazette