Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dilanjutkan lagi 14 hari mulai esok.

Ini kerana masih terdapat penambahan 35 kes baharu positif Covid-19 menjadikansebanyak 1,135 kes sehingga kini.

“Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan PKPB bermula 17 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir hari ini, tetapi disebabkan masih ada penambahan kes positif, ia dilanjutkan sehingga 6 Disember ini,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, lanjutan PKPB itu untuk mengekang penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada petugas kesihatan menjalankan saringan bersasar di kawasan itu.

Sementara itu, PKPDiperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching yang dilanjutkan sehingga 24 November ini, ditamatkan pelaksanaannya berkuatkuasa hari ini.

Jelas beliau, tempoh penamatan itu disingkatkan berikutan kawasan berkenaan ketika itu masih menunggu keputusan ujian saringan kedua.

“Sepatutnya lokaliti ini tamat PKPD pada 10 November, tapi disambung 14 hari lagi sehingga 24 November ini kerana Kementerian Kesihatan belum menerima keputusan ujian saringan.

“Apabila keputusan itu sudah diterima semalam dan didapati tiada kes positif baru dikesan, maka tempohnya disingkatkan sehingga jam 12 tengah malam ini,” katanya.

Mengenai kesalahan ingkar PKPP dan PKPB, Ismail Sabri berkata, semalam seramai 379 individu ditahan dengan 370 dikenakan kompaun dan sembilan lagi direman.

Kata beliau, kesalahan yang direkodkan seperti biasa iaitu tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan sosial, rentas daerah dan rentas negeri.

Bagi Ops Benteng pula katanya, semua sempadan negara dikawal ketat secara bersepadu dari dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati).

Bagaimanapun, menerusi sekatan jalan raya, polis menahan 27 Pati, seorang tekong serta merampas lapan kenderaan darat yang dipercayai digunakan untuk menyeludup warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast