Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengalami kecederaan pada kemaluannya selepas dipercayai dihiris oleh rakan wanitanya ketika mereka berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat kawasan pasar Bandar Baru Farlim, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 7.55 pagi semalam daripada lelaki berusia 47 tahun berkenaan, yang memaklumkan kemaluannya dicederakan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat awal, lelaki itu memaklumkan rakan wanitanya telah datang berjumpanya di pejabatnya pada 6.30 pagi, sebelum mereka berdua mengambil dadah dan akibat khayal, mangsa yang merupakan penganggur tidak sedarkan diri.

“Lelaki itu yang sebelum ini merupakan jurugambar hanya menyedari kemaluannya berdarah selepas tersedar daripada pengaruh dadah manakala rakan wanitanya telah menghilangkan diri. Ekoran kejadian tersebut polis menahan wanita berusia 35 tahun itu di Paya Terubong semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan luka hirisan yang tidak serius dan dipercayai dicederakan oleh wanita itu dengan gunting yang dirampas di pejabat lelaki tersebut.

Soffian berkata lelaki itu menjalani pembedahan di HPP manakala wanita berkenaan yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta positif bahan terlarang, kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di Butterworth, sepasang kekasih yang menjalankan kegiatan mencuri dan menjual kambing di sekitar daerah  Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) bagi mendapatkan wang ditahan polis bersama seorang peniaga daging kambing, dalam dua serbuan di Butterworth dan Mak Mandin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima laporan seorang lelaki berusia 32 tahun yang memaklumkan enam ekor kambing miliknya telah hilang dan dipercayai dicuri dari sebuah kandang di Butterworth, Selasa lepas.

“Ekoran itu polis menjalankan risikan sebelum menyerbu sebuah rumah pada 9.30 malam tadi dan menahan seorang lelaki peniaga daging kambing berusia 35 tahun. Siasatan mendapati dia membeli kambing dengan harga yang murah daripada pasangan kekasih itu,”.

“Susulan itu, polis menahan suspek berusia 24 dan 25 tahun itu yang mengaku mencuri sebelum menjual enam ekor kambing kepada peniaga itu, namun empat daripadanya telah disembelih serta dijual,” katanya.

Katanya, kesemua suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau kini direman dua hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA