Anggota Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memeriksa air yang dikesan berbau di Saujana Rawang. Gambar: Facebook LUAS.

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau berhampiran kawasan Perumahan Saujana, Rawang.

Agensi berkenaan menerusi kenyataan memaklumkan bau tersebut dikesan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi tadi ketika pemantauan Ops Sumber Air dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Dua agensi itu membuat pensampelan bau air di Sungai Kundang berhampiran taman tersebut dan mengesan bau sebanyak 4 TON.

“Siasatan di kawasan Taman Velox mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) melimpah disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran,” demikian menurut kenyataan itu.

Kedua-dua agensi berkenaan mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK.

“Pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette