EINDHOVEN – Pelajar Belanda telah menghasilkan sebuah kereta elektrik yang diperbuat daripada bahan buangan termasuk plastik yang dipungut di laut, botol kitar semula yang diperbuat daripada polyethylene terephtalate (PTE) dan bahan buangan isi rumah.

Kereta dua tempat duduk berwarna kuning yang diberi nama Luca itu boleh mencapai kelajuan 90 kilometers sejam dan boleh dipandu sejauh 220 kilometer apabila ia dicaj sepenuhnya, kata Technical University of Eindhoven.

“Kereta ini amat istimewa kerana ia dibuat sepenuhnya daripada bahan buangan,” kata Pengurus Projek, Lisa van Etten kepada Reuters.

“Casis kami diperbuat daripada flax (jerami) dan botol plastik kitar PET. Untuk bahagian dalaman, kami menggunakan bahan buangan yang telah diisihkan.

Plastik keras yang boleh ditemui pada televisyen, mainan dan peralatan dapur digunakan pada badan kereka itu manakala kusyen kerusinya diperbuat daripada sabut kelapa dan bulu kuda.

Kereta tersebut direka dan dibina oleh sekumpulan 22 pelajar dalam tempoh 18 bulan sebagai usaha untuk membuktikan potensi bahan buangan, ujar Van Etten.

“Kami berharap syarikat-syarikat kereta akan mula menggunakan bahan buangan.

“Terdapat kemungkinan dalam penggunaannya (bahan buangan). Lebih banyak syarikat menggunakan bahan buangan atau bahan berasaskan bio di bahagian dalaman, kami mahu menunjukkan bahawa casis boleh dibina dengan menggunakannya (bahan buangan),” kata salah seorang pelajar, Matthijs van Wijk. – MalaysiaGazette