Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri menitipkan doa buat bintang Liverpool, Mohamed Salah yang dijangkiti Covid-19.

Menerusi hantara di Instagramnya, Zulkilfi yang dikenali sebagai penyokong Reds terkejut dengan apa yang menimpa bintang Mesir itu dan mendoakan dia segera sembuh.

Beliau turut mendoakan kesejahteraan skuad Harimau Malaya, selain bintang bola sepak negara, Safawi Rasid yang kini berada di Portugal menyarung jersi kelab Portimonense.

“Menjadi kelaziman hujung minggu jika ada masa lapang, saya menonton Astro Arena. Agak terkejut bila tahu Mohamed Salah positif Covid-19. Saya doakan beliau segera sembuh.

“Harapan saya juga agar skuad Harimau Malaya turut dipelihara daripada sebarang musibah, kekal sihat seperti seadanya,” tulis Zulkifli.

Dalam hantaran sama, beliau turut mendoakan dan bertanya khabar Safawi.

“Safawi Rasid di sana sihat? Jaga kesihatan dan jangan lupa sentiasa berdoa kepada Allah. Moga diselamatkan dan dipelihara dari sebarang musibah,” katanya.

Beliau turut meninggalkan doa yang boleh diamalkan umat Islam dalam menghadapi pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette