KUALA LUMPUR – Kedah mengikut jejak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan membenarkan peniaga kecil dan penjaja statik berniaga di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri itu.
Keputusan itu dibuat Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai usaha kerajaan negeri meringankan beban hidup rakyatnya yang terhimpit akibat pandemik Covid-19.
Katanya, kawasan bebas berniaga itu diperluaskan di semua 12 daerah, berbanding sebelum ini diwujudkan di lima kawasan pentadbirannya.
Lima PBT itu ialah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).
“Kawasan bebas berniaga ini dibuka dua hari lalu dan minggu depan kita perluaskan di tujuh PBT lagi.
“Kita buat keputusan ini untuk memberi lebih banyak peluang dan ruang kepada peniaga kecil mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan menyara keluarga.
“Bagi yang telah atau sedang mencari rezeki dalam bidang ini, boleh berniaga dalam kawasan PBT ini, tetapi perlu mematuhi syarat dan garis panduan tapak perniagaan yang ditetapkan,” katanya kepada media, semalam.
Muhammad Sanusi berkata, penyusunan tapak dan syarat perniagaan itu perlu bagi mengelakkan berlaku penyalahgunaan bahan serta tidak diambil kesempatan oleh pihak lain untuk kepentingan diri.
Kata beliau, ada beberapa Yang Dipertua Majlis Perbandaran memohon dari kerajaan negeri untuk melaksanakan kawasan bebas berniaga di daerah mereka.
“Saya gembira dengan sikap cakna dan prihatin PBT untuk memberi ruang dan membuka peluang mencari rezeki ini kepada rakyat yang memerlukan.
“Oleh itu, saya nasihatkan kepada peniaga, buatlah persiapan untuk mendaftar dan meninjau-ninjau tempat yang sesuai untuk dimohonkan kepada PBT masing-masing.
“Cuma saya berharap peluang ini tidak diambil kesempatan oleh mana-mana individu atau sindiket tidak bertanggungjawab untuk memiliki atau menanda tempat tertentu sebagai hak sendiri, kemudian menjual atau menyewa tempat itu kepada peniaga lain,” katanya.
Katanya, beliau telah memaklumkan kepada PBT agar sentiasa memantau dan memastikan tidak berlaku sindiket seperti itu.
“Mereka (sindiket) mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi oleh orang ramai terutamanya peniaga kecil, jika berlaku, penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap individu terbabit,” jelas beliau. – MalaysiaGazette
















