Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof bercakap pada sidang media pada Wawancara Belanjawan 2021 di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Rakyat tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 disaran menceburi sektor pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mereka yang berminat boleh mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang menyediakan kemahiran tertentu dalam sektor tersebut.

Jelas beliau, ketika ini, banyak peluang yang ditawarkan sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di tapak pembinaan.

Menurutnya, mereka boleh menyertai pekerjaan seperti operator kren yang dilatih oleh CIDB untuk menjadi pekerja mahir.

“Kita hendak galak rakyat tempatan sertai sektor pembinaan selepas ada syarikat ditutup dan mereka tidak ada pekerjaan. Mereka hanya perlu mendaftar dengan CIDB dan kita boleh beri latihan untuk kemahiran tertentu dalam sektor ini.

“Kita memerlukan pekerja ketika ini dalam sektor pembinaan dan apa yang kita lakukan dalam CIDB melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) dengan melatih contohnya operator kren menerusi sektor tertentu menjadi pekerja mahir.

“Selepas terlatih mereka akan ditugaskan di mana-mana syarikat yang memerlukan pekerja kerana di bawah CIDB terdapat syarikat yang memerlukan tenaga pekerja dalam sektor pembinaan.

“Jadi CIDB boleh menyediakan kepada mana-mana kontraktor  yang memerlukan pekerja mahir atau separa mahir,” katanya pada sidang media Belanjawan 2021 KKR di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah mengakui isu pekerjaan ‘3D’ iaitu dirty, difficult & dangerous (kotor, sukar dan bahaya) menjadi faktor penolak untuk rakyat tempatan menyertai sektor pembinaan.

Namun jelas beliau, KKR sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia yang mana CIDB dan ABN akan melatih rakyat tempatan dalam bidang terpilih.

Menurutnya, kementerian tersebut akan memperkenalkan teknologi dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan isu 3D itu.

“Ia seperti pendigital termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan model informasi bangunan. Dengan semua teknologi baharu ini isu kerja 3D dapat dikurangkan kerana ia akan membolehkan sektor pembinaan menjadi lebih ‘bersih’ untuk bekerja.

“Semuanya boleh dibina di kilang dan dibawa ke tapak pembinaan serta hanya dipasang sahaja. Dengan itu lebih ramai rakyat tempat yang berminat untuk menyertainya dan skala gaji akan menjadi lebih baik, “ katanya. – MalaysiaGazette