Abdul Ghani Salleh.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengadakan mesyuarat khas pada minggu depan untuk menetapkan satu tarikh bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Gerik.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima surat kekosongan kerusi itu daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

“SPR sudah menerima surat rasmi yang dikemukakan oleh Speaker Dewan Rakyat mengenai kekosongan kerusi Parlimen Gerik dan menggunakan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan yang meminta mengisi kekosongan luar jangkaan dalam masa 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR.

“SPR akan bermesyuarat khas pada minggu depan, tetapi tarikh (mesyuarat khas) belum ditetapkan lagi. Dalam mesyuarat khas itu akan dimuktamadkan tarikh penamaan calon, mengundi awal dan undi biasa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kerusi Gerik diisytihar kosong selepas penyandangnya dari Barisan Nasional, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada Isnin lalu sekitar jam 6.40 petang selepas dimasukkan ke hospital akibat sakit dada.

Jenazah Allahyarham yang berusia 63 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik sekitar 11.45 pagi semalam.

Dalam perkembangan lain mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah, Abdul Ghani turut mengesahkan SPR masih belum menerima notis kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah.

Ketua Wanita Warisan Semporna itu dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat masalah buah pinggang pada Isnin.-MalaysiaGazette

 

Azhar maklum kepada SPR kekosongan kerusi Parlimen Gerik

Jenazah Hasbullah selamat dikebumi

ADUN Bugaya meninggal dunia