Mior Faridahlathrash dilantik sebagai Ketua Polis Perak manakala SAC Sasikala Devi Subramaniam dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan JSJK Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Deputi Komisioner, Datuk Mior Faridahlathrash Wahid dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu.

Beliau kini menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Mior antara sembilan pegawai kanan polis yang disenaraikan dalam pertukaran terbaharu pegawai kanan polis oleh Urusetia Ketua Polis Negara Polis Diraja Malaysia hari ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, Mior akan memangku pangkat komisioner dan kesemua sembilan pelantikan itu berkuatkuasa mulai 21 Disember ini.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Khas Perak, Senior Asisten Komisioner Datuk Mazlan Santarai pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat deputi komisioner.

Manakala Senior Asisten Komisioner, Datuk Sasikala Devi Subramaniam satu-satunya pegawai kanan wanita yang tersenarai dalam pertukaran kali ini diangkat sebagai Timbalan Pengarah Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman dengan memangku jawatan deputi komisioner.

Ketika ini beliau menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Korporat dan Kewangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Manakala Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Dr. Mustafa Khan Abdul Samat pula bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah Perancangan Strategik di jabatan yang sama dengan memangku pangkat deputi komisioner.

Selain itu Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Komisioner Shazeli Kahar pula akan mengisi jawatan Ketua Cawangan Khas Perak.

Manakala Senior Asisten Komisioner Munusamy Rengasamy selaku Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Maktab PDRM pula dilantik ke Bahagian Pentadbiran di maktab tersebut.

Justeru Asisten Komisioner Mohammad Mashdik Yahya akan bertukar dari Pegawai Turus E1B5 Cawangan Khas Bukit Aman kepada Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketua Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor iaitu Asisten Komisioner Mohammad Abd Hamid juga dinaikkan pangkat sebagai SAC dan dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Maktab PDRM menggantikan Munusamy.

Akhirnya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisoner Mohd Zaki Ashar pula ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Narkotik Risikan Zon 1.-MalaysiaGazette