Dr. Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing menyatakan pendirian bersetuju dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pengisytiharan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Muatafa Billah Shah itu sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan berlaku penularan wabak Covid-19.

Katanya, dalam keadaan wabak yang masih tinggi di Sabah, termasuk di seluruh negara, perlu usaha menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) dari diadakan di Parlimen Batu Sapi bagi mengekang penyakit berjangkit itu terus menular.

“Virus Covid-19 boleh membawa maut dan sehingga kini belum ada sebarang vaksin untuk merawat penyakit itu.

“Justeru, tepat sekali Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mengisytiharkan darurat di kawasan Parlimen itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, akibat jangkitan paru-paru.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai hari pengundian, manakala 23 November hari penamaan calon dan 1 Disember hari pengundian awal.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam, yang mana terdapat keperluan untuk membatalkan tarikh PRK Batu Sapi yang ditetapkan sebelum ini.

Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; dan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mohd Shafie Apdal

Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan semalam, menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat, sekali gus menghalang PRK Batu Sapi daripada diadakan.

Beliau bagaimanapun, berharap, kerajaan negeri dan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) menyediakan kaedah terbaik membela kebajikan rakyat dalam kawasan parlimen itu, sepanjang ketiadaan wakil rakyat.

“Saya mewakili parti Warisan menjunjung kasih terhadap proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong bagi kawasan Parlimen Batu Sapi.

“Saya percaya Seri Paduka Baginda mengeluarkan titah itu atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan salah satu kawasan merah akibat wabak Covid-19.

“Baginda telah menggunakan kebijaksanaan dalam pengisytiharan itu,” katanya.

Beliau berkata, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan, sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette