Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah tangkapan individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkurangan semalam berbanding hari sebelum yang mencecah lebih 300 kes setiap hari.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, individu yang gagal memakai pelitup muka antara teramai ditahan dalam operasi itu semalam iaitu 108 orang daripada 289 jumlah tangkapan.

Kata beliau, daripada jumlah tangkapan itu, polis telah mengenakan kompaun kepada 277 individu, manakala 11 lagi direman dan seorang dijamin.

“Semua mereka ini ditangkap dalam Operasi Pematuhan yang dijalankan polis di seluruh negara sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 kepada media hari ini.

Ismail Sabri berkata, mengikut pecahan tangkapan itu, selain 108 kesalahan tidak memakai pelitup muka, rekod polis juga menunjukkan individu yang gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal seramai 59 orang.

Ismail Sabri Yaakob

Jelas beliau, 51 individu ditangkap kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan manakala 38 individu melakukan kesalahan rentas negeri atau daerah bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, menerusi Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan menahan 35 pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang penyeludup dan merampas sembilan kenderaan darat.

“Mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) dan di lorong tikus sempadan negara semalam.

“Kerajaan selalu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan di lorong tikus.

“Agensi penguat kuasa ini melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya.

Mereka itu, kata Ismail Sabri mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati, bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau turut berkata, sebanyak 274 SJR Operasi Benteng dilaksanakan semalam, yang melibatkan tentera (210), polis (54) dan AKSEM (10). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast