Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berucap pada Majlis Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan meningkatkan usaha terhadap program pencegahan dadah dengan menumpukan kepada golongan belia dan remaja.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, usaha itu perlu digerakkan memandangkan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dan belia kini semakin meningkat.

Ujarnya, kedua-dua golongan itu merupakan sasaran penjual-penjual dadah yang mahu mengaut keuntungan.

“Saya tidak boleh menafikan kemungkinan budak-budak sekolah diajar untuk menjadi penjual. Kena faham dadah ini adalah satu perniagaan haram yang lumayan itu kena faham. Maknanya suka atau tidak memang ada kumpulan orang atau syarikat yang mahu anak-anak kita jadi penagih sebab ia memberi pulangan yang besar. Itu masalahnya.

“Jadi mereka akan cuba (jadikan anak kita terlibat dengan dadah). Itu sebabnya kita nak kuatkan program pencegahan dadah, supaya anak-anak kita tidak terlibat.

“Mula-mula memang mereka diberi percuma, selepas itu anak-anak kita rasa benda itu perlu jadi bergantung. Bila jadi bergantung tidak ada duit, jadi kena jual juga. Ini yang berlaku.

“Kemungkinan tren itu begitu. Upah, dia upah dadah sebab tiada duit kena jual dadah juga. Jadi mula menjual. Ini yang kita tidak mahu,” katanya  selepas melancarkan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenaaai penahanan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor terhadap pengedar dadah kepada pelajar sekolah di Johor baru-baru ini.

Dilaporkan modus operandi pengedar dadah itu adalah merekrut pelajar dan memberi dadah secara percuma pada peringkat awal sebelum pelajar diminta mencari penagih baharu dan mereka akan diberi imbuhan sama ada wang atau dadah.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, AADK akan menggunakan individu-individu yang sedang mendapatkan rawatan di semua pusat pemulihan untuk menyebarkan kesedaran terhadap bahaya dadah.

“Kita akan gunakan yang ada di pusat-pusat untuk keluar beritahu anak-anak di luar jangan mula guna dadah. Kita mahu hantar mesej. Kita nak mencegah lebih banyak,” katanya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.