Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) menyampaikan lesen perniagaan kepada penerima, Fatin Fazlin Idris (kanan) pada Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan Kepada Usahawan Muda Kota Wilayah Persekutuan Putrajaya di Tapak Food Truck Presint 14, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjadi orang tengah dalam pelaksanaan inisiatif ‘Wilayah Bebas Berniaga’.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang.

“Saya dapat maklumat bahawa ada pihak yang cuba jadi sindiket dia nak jadi orang tengah ambil kawasan malah ada berebut kawasan, ambil kawasan dan pasang gerai sebab hendak kutip duit daripada aktiviti itu,” katanya ketika hadir menyerahkan lesen perniagaan ruang niaga di tapak usahawan belia hari ini.

Sejumlah 41 usahawan muda diberikan tawaran ruang niaga di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ia adalah daripada jumlah 2,000 tapak perniagaan yang disasarkan kementerian itu bagi Program Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan dalam tempoh dua tahun.

Justeru itu, Annuar menasihatkan agar para peniaga supaya tidak terlibat dengan sindiket berkenaan.

“Tidak payah ada orang tengah dan ada tauke dan sebagainya sebab tujuan kita buat ini nak suruh rakyat dapat cari duit tambahan.

“Kalau ada orang tengah kena bayar mereka pulak. Ini sudah tidak menepati sasaran program ini,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan menyeru warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk merebut peluang untuk menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan melalui inisiatif ‘Wilayah Bebas Berniaga’.

Peniaga bagaimanapun disyaratkan untuk memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ditawarkan secara percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast