Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah melakukan gimik Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Individu yang datang ke pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan penyalahgunaan dan penagihan dadah didapati akan kekal pulih.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, menerusi kajian yang dijalankan mendapati lebih ramai golongan yang berhadapan dengan masalah ketagihan dadah perlu ditarik untuk mendapatkan rawatan secara sukarela.

Sehingga kini, katanya, hanya 19 peratus daripada 142,199 individu berhadapan dengan masalah dadah datang ke pusat pemulihan secara sukarela.

“Penting untuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) menggalakkan mereka yang menghadapi masalah penyalahgunaan dadah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan.

“Kajian mendapati mereka yang datang sukarela akan kekal pulih sebab mereka bersedia menjalani rawaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di PUSPEN Sungai Besi hari ini.

Katanya, menerusi pendekatan ini PUSPEN telah menaiktaraf infrastruktur dan modul di 11 pusat pemulihan sukarela di seluruh negara.

“Salah satu tambahbaik yang dilakukan di pusat sukarela adalah infra dan kedua modul.

“Disamping itu kerja-kerja menarik taraf aspek keselamatan di PUSPEN juga akan dilaksanakan,” tambahnya.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian beliau berkata, pendekatan sukarela ini merupakan tawaran peluang kedua kepada individu yang terlibat dengan penagihan dadah dan berhasrat untuk mendapatkan rawatan dan perubatan secara sukarela tanpa melalui tindakan perundangan.

Jelasnya, modul ini dibangunkan secara bersepadu dan holistik dan mengandungi komponen utama iaitu bio, psikososial dan spiritual sebagai fundamental kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan sukarela.

“Pelaksanaan modul ini dilaksanakan secara indoor dan outdoor, bukan sahaja melibatkan institusi AADK tetapi juga keluarga, co-dependence, komuniti, majikan dan sebagainya,” katanya lagi.

Ujar beliau, antara objektif pengwujudan modul ini adalah untuk menyediakan program rawatan dan perubatan secara sukarela yang lebih efektif dan sistematik serta memberi kemahiran kepada klien untuk mengaplikasikan elemen recovery capital dan coping skills berdasarkan peluang dan keupayaan dalam kehidupan mereka.

Kelebihan modul ini, kata Zulkifli, adalah tempoh masa yang lebih fleskibel kerana antara sasaran adalah yang berhadapan dengan masalah dadah dari kalangan bekerjaya dan masih menuntut.

Statistik AADK menunjukkan bahawa usia mula terlibat dengan pengambilan dadah adalah semakin muda.

Remaja yang dikesan terlibat dengan penagihan dadah berusia antara 13 hingga 18 tahun seramai 4,918 orang pada tahun 2018 dan 3,289 orang pada tahun 2019.

Manakala, golongan pelajar Insititut Pengajian Tinggi (IPT) IPT adalah seramai 481 orang pada tahun 2018 dan 526 orang pada tahun 2019.

Jumlah keseluruhan mencatatkan seramai 130,788 orang pada tahun 2018 dan 142,199 pada tahun 2019.

Menerusi modul baharu yang akan digunakan di pusat pemulihan ini, Zulkifli menjangkakan jumlah individu yang akan datang secara sukarela mendapatkan rawatan pada tahun 2021 bakal meningkat kepada 30 peratus. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.