Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah membuat beberapa penambahbaikan untuk membantu rakyatnya berniaga menerusi program Kawasan Bebas Berniaga di seluruh kawasan PBT negeri itu.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara penambahbaikan itu ialah melanjutkan tempoh pelaksanaan dari enam bulan yang dicadangkan sebelum ini kepada satu tahun.

“Berikutan pelaksanaan ini, kerajaan negeri telah membuat penambahbaikan untuk membantu rakyat yang menghadapi kesukaran kewangan menceburi bidang perniagaan.

“Sebelum ini Kawasan Bebas Berniaga dicadangkan enam bulan bermula 15 November lalu hingga 15 Mei tahun depan dengan bayaran RM10 sebulan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah bersetuju supaya langkah ini dilaksanakan selama satu tahun bermula 15 November lalu hingga 15 November tahun depan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, berkuatkuasa 1 Disember ini pula, pembayaran lesen atau permit sementara tidak dikenakan bayaran kepada semua pemohon.

Kata beliau, syarat permohonan sama seperti sebelum ini dan kelulusannya tertakluk dengan syarat ditetapkan PBT.

“Antaranya tidak menghalang laluan dan lalulintas, tidak meninggalkan peralatan di tempat berniaga, menjaga kebersihan, tiada mendatangkan kacau ganggu, memelihara keselamatan dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Permohonan permit percuma boleh dilakukan di PBT berkaitan pada waktu pejabat hari bekerja.

“Saya harap langkah ini dapat membantu meringankan beban orang ramai yang terkesan dengan kesuraman ekonomi akibat Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast