Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan 455 individu atas pelbagai kesalahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 427 individu telah dikompaun manakala 27 individu pula direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), aktiviti pusat hiburan (72), tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59).

“Manakala kesalahan bagi rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran pula seramai 21 kes dan lain-lain (34),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, anggota keselamatan berjaya menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang penyeludupan serta merampas tiga kenderaan darat dalam Operasi Benteng, semalam.

“Sebanyak 306 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan ATM (242), PDRM (54)
dan AKSEM (10).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya. – MalaysiaGazette