bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan, dengan pelabur mengikuti rapat pergerakan pasaran susulan peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia, kata peniaga.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, sentimen pelabur mungkin dipengaruhi oleh pelaksanaan semula perintah sekatan di beberapa negara untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Sebarang laporan positif mengenai vaksin akan menjadi dorongan untuk pasaran kekal pada paras 1,590 hingga 1,605 mata. Pada masa ini, paras rintangan pada 1,610 mata manakala sokongan pada 1,590 mata,” katanya kepada Bernama.

Indeks tempatan meningkat 0.64 peratus pada Jumaat untuk ditutup pada 1,593.8 mata, dengan kaunter sarung tangan seperti Top Glove menguasai saham untung selepas melonjak 5.0 peratus apabila minat belian muncul daripada penurunan harga saham baru-baru ini didorong laporan positif mengenai perkembangan vaksin COVID-19.

Beliau berkata saham lain yang membentuk indeks itu, yang merekodkan peningkatan ketara ialah Petronas Gas apabila naik 2.7 peratus.

“Ia dipacu oleh prestasi keuntungan bersihnya bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 yang melonjak 36.9 peratus kepada RM591.01 juta daripada RM431.59 juta pada suku ketiga sebelumnya.

“Prestasi itu dicapai susulan sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen, khususnya regasifikasi dan pemprosesan gas susulan kos operasi lebih rendah dan keuntungan tukaran asing yang belum diterima lebih tinggi,” katanya.

Adam berkata mengikut sektor, Indeks Pembinaan mencatatkan kenaikan terbesar, iaitu sebanyak 1.69 peratus manakala Indeks REIT pula mendahului kalangan yang mengalami penurunan apabila susut 0.36 mata.

FBM KLCI meningkat 4.06 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,593.75 daripada 1,589.69 pada Jumaat minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 53.89 mata kepada 11,463.88, Indeks FBMT 100 menokok 42.84 mata kepada 11,246.88 namun Indeks FBM Emas Syariah merosot 105.26 mata kepada 13,221.77.

FBM 70 melonjak 119.79 mata kepada 14,734.77 dan Indeks FBM ACE turun 71.22 mata kepada 11,153.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 455.31 mata kepada 14,023.32, Indeks Perladangan menokok 40.28 mata kepada 7,344.48 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.98 mata kepada 160.18.

Indeks Teknologi turun 0.54 mata kepada 63.70 sementara Indeks Penjagaan Kesihatan kurang 31.51 mata kepada 3,959.64.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 65.45 bilion unit bernilai RM29.40 bilion daripada 67.71 bilion unit bernilai RM29.51 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 32.66 bilion saham bernilai RM21.85 bilion daripada 31.07 bilion saham bernilai RM21.53 bilion.

Jumlah dagangan waran sebanyak 5.58 bilion unit bernilai RM799.64 juta berbanding 4.46 bilion unit bernilai RM807.03 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 28.82 bilion saham bernilai RM6.75 bilion daripada 32.17 bilion saham bernilai RM7.17 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette