KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan kementerian tersebut tidak menyalurkan bantuan kewangan bagi pembangunan sukan secara terus kepada individu atau syarikat.

Sebaliknya Jawatankuasa Bantuan akan mempertimbangkan sesuatu permohonan terlebih dahulu dan sumbangan akan disalurkan menerusi persatuan sukan.

Ini kerana, jawatankuasa berkenaan terikat dengan Garis panduan dan tatacara kewangan sedia ada dalam masa yang sama ia diaudit.

“Jawatankuasa Bantuan akan mempertimbangkan sesuatu permohonan yang diterima oleh KBS dan sekiranya diluluskan, maka ianya akan disalurkan melalui persatuan sukan yang berkaitan seperti Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bagi kes ini,” kata KBS menerusi kenyataan.

Mengulas mengenai bantuan sebanyak RM52,000 kepada Kasma Daniel Kasmayudin, KBS menjelaskan ia telah menerima permohonan daripada MAM.

“KBS telah menerima permohonan daripada MAM bagi pihak Kasma Daniel dan setelah Jawatankuasa Bantuan menilai permohonan tersebut, pihak KBS telah meluluskan sejumlah peruntukan kepada MAM melalui surat bertarikh 3 September 2020,” tambah kenyataan itu.

Bantuan kewangan tersebut disalurkan sebagai tanda sokongan bagi membolehkan Kasma Daniel sebagai atlet dan belia negara yang mempunyai potensi besar dapat mengharumkan nama negara dalam kejohanan yang disertainya.

KBS berkata, pada masa ini Kasma Daniel merupakan seorang atlet di bawah tajaan oleh syarikat ONEXOX.- MalaysiaGazette