KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak, Nor Affendi Nurdin atau lebih dikenali sebagai Pak Lah Cecupak, 53, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, pada jam 11.07 pagi tadi.

Pak Lah disahkan menghidap barah usus tahap empat sejak Julai lalu.

Isteri Allahyarham, Rohamiza Ali memberitahu suaminya sempat bertutur namun tidak jelas sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

“Ketika itu, saya hanya mengiyakan dan mengangguk. Arwah dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu.

“Sejak sakit, arwah kerap berulang alik ke hospital.

“Doktor mengesahkan barah usus dihidap suami sudah merebak ke hati. Saya dan anak reda dengan dengan takdir ini,” katanya.

Rohamiza berkata, jenazah suami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, selepas Asar.

Sepanjang perkahwinan Allahyarham dan Rohamiza, mereka dikurniakan tiga anak.

Dalam pada itu, komposer A Ali atau nama sebenar, A Ali @ Hamdan Atan, 71, juga dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Kajang, pagi tadi.

Isteri arwah, Latifah Khamis menyedari suaminya sudah pergi, kira-kira jam 8.30 pagi.

Dilaporkan A Ali tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiannya sangat mengejutkan.

Sepanjang karier seninya, arwah yang mampu bermain alat muzik seperti gitar, menaikkan nama penyanyi Zaiton Sameon menerusi lagu Menaruh Harapan yang memenangi Juara Lagu 1987.

Arwah juga mencipta lagu Diriku Terbelenggu nyanyian Francissca Peter dan Rayuanku dendangan Rohana Jalil yang cukup popular pada era 1980-an. – MalaysiaGazette