KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menyokong penuh tindakan kerajaan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pelan yang dirangka sehingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, dalam keadaan negara dan dunia berdepan penularan wabak itu, pasti sukar untuk empat sektor utama iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian mendapatkan tenaga kerja asing.
Justeru, kata beliau, pelan itu bertepatan dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sektor berkenaan untuk pulihkan semula ekonomi masing-masing.
Menurutnya, Peka turut menawarkan rekalibrasi tenaga kerja kepada PATI yang menyertai Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) anjurannya.
“Menerusi program itu, setiap PATI yang berminat perlu memenuhi syarat dan segala urusan berhubung permit kerja akan dibantu oleh Peka.
“Selepas memperoleh permit kerja, PATI boleh bekerja dengan aman tanpa rasa bimbang kerana sukar memiliki permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata Zuhairi, seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, selepas 30 Jun 2021, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.
Menerusi penguatkuasaan itu, jika disabitkan bersalah, majikan yang didapati menggajikan Pati boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
“Jadi, kepada majikan dan PATI terutama membabitkan empat sektor utama itu, ambil peluang sertai Pelan Rekalibrasi Pati,” katanya. – MalaysiaGazette
















