Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Selangor mencatat angka tertinggi kes positif baharu Covid-19 iaitu sebanyak 603 kes sekaligus menjadi penyumbang terbesar kepada kes keseluruhan 1,096 setakat 12 tengah hari tadi.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Hisham Abdullah. peningkatan di Selangor berkaitan pertambahan kes bagi kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai sebanyak 502 kes atau 83.3 peratus.

Selepas Selangor, Sabah pula mencatatkan sebanyak 311 kes disebabkan peningkatan pengesanan dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu sebanyak 139 kes.

“Pertambahan jangkitan di Sabah pula disebabkan peningkatan pengesanan kes dalam saringan kontak rapat iaitu sebanyak 139 kes (44.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga mendedahkan sebanyak tiga kluster baharu dikesan dan dikenalpasti membabitkan Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Ketiga-tiga kluster itu ialah Pengkalan Barat melibatkan daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak, Kluster Bakti di sebuah penjara di Seremban, Negeri Sembilan.

Manakala kluster Bayam Indah membabitkan daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah. – MalaysiaGazette