Anggota bomba membawa wanita yang patah tangan kiri selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki Bukit Ketumbar di Taman Cheras Utama di sini, hari ini. Gambar: Ihsan JBPM.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita patah tangan kiri selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki Bukit Ketumbar di Taman Cheras Utama di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian yang menimpa wanita berusia 43 tahun itu pukul 8.49 pagi tadi.

Bomba kemudiannya menghantar 13 anggota dari balai Cheras dan Bandar Tun Razak ke lokasi kejadian dengan dan tiba lapan minit kemudian.

“Anggota mendaki bukit lebih kurang 30 minit untuk sampai di tempat mangsa tercedera. Terdapat seorang mangsa wanita dewasa berbangsa Cina lingkungan umur 43 tahun mengalami kecederaan patah tangan kiri akibat terjatuh semasa melakukan aktiviti hiking di bukit tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, bomba kemudiannya mengiringi mangsa turun dari bukit tersebut dan diserahkan kepada unit EMRS.

Ujarnya, operasi menyelamat selesai sepenuhnya pukul 10.14 pagi dan mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Cheras untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette