Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan mengambil tindakan undang-undang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.

Bagaimanapun Ketua Eskekutif YPW, Zaizalnizam Zainun berkata, tindakan itu tidak melibatkan PAC tetapi atas individu melibatkan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

“Kami tidak mempertikaikan dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap PAC sebaliknya ke atas individu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh atas kapasiti
peribadinya yang telah menyalahgunakan kedudukan beliau selaku Pengerusi PAC untuk membuat tuduhan tidak benar terhadap YWP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaizalnizam, erdasarkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang, YWP berhak mempertahankan diri terhadap tiga kenyataan Kah Woh yang dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti YWP.

Pertamanya, kenyataannya yang Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara otomatik dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan terlibat dalam penjualan tanah-tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kedua, kenyataan yang mengaitkan penglibatan YWP di dalam penjualan 97 tanah DBKL termasuk penjualan tanah Taman Rimba Kiara.

Ketiganya, kenyataan yang menyatakan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat tidak dipantau oleh sebarang pihak berkuasa.

Sehubungan itu, kata Zaizalnizam, pihaknya menafikan segala pertuduhan tersebut sekeras-kerasnya dan mempertahankan nama baik YWP agar dapat meneruskan usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan dan memerlukan selaras tujuan penubuhannya.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.