Foto Arkib

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 buah kilang Top Glove di Klang, Selangor diarahkan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan Covid-19 dan dikuarantin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan berlaku peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja di kilang-kilang tersebut.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja lelaki dan asrama pekerja wanita syarikat sarung tangan Top Glove, di Klang, Selangor bermula 17 November 2020.

“Dalam sidang khas hari ini KKM memaklumkan berlaku peningkatan ketara kes positif COVID-19 di kalangan pekerja kilang tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan 5,794 saringan dan sebanyak 1,889 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Katanya, penutupan 28 buah kilang itu dan proses saringan akan diselaraskan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat Top Glove.- MalaysiaGazette