LONDON – Chelsea dilaporkan sudah bersedia membenarkan Olivier Giroud meninggalkan Stamford Bridge untuk cabaran baharu selepas dia tidak lagi menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.

Kelab itu dilaporkan memberitahu bahawa kesediaan berpisah dengan Giroud adalah sebagai tanda berterima kasih kepada sumbangan dan segala bakti pemain itu kepada kemajuan dan pencapaian kelab selama ini.

Tempoh penyerang itu beraksi bersama kelab di Stamford Bridge semakin dihadkan dengan kehadiran dua pemain baharu iaitu Timo Wrner dan Kai Havertz.

Sementara itu penyerang Tammy Abraham berada dalam tahap terbaik.

Giroud pemain Perancis yang berusia 34 tahun masih belum memulakan sebarang perlawanan bersama skuad kendalian Frank Lampard.

Laporan di London turut mendakwa Chelsea tidak akan menghalang sekiranya Giroud berkeputusan untuk meninggalkan kelab.

Kelab itu dilaporkan akan mengambil pendekatan lembut dan terhormat ke atas Giroud sepertimana ke atas Cesc Fabregas dan Branislav Ivanovic sementara Petr Cech dibenarkan meninggalkan kelab secara percuma pada 2015 dan menjadi penjaga gol Arsenal.

Bagaimanapun laporan terbaharu di Stamford Bridge mendakwa Giroud tidak akan meninggalkan kelab sehingga Januari ini disebabkan Lampard akan memantau situasi kecederaan pemain jentera serangan pasukan itu sebelum membuat satu keputusan muktamad mengenai status Giroud di kelab itu.-MalaysiaGazette