Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Insiden serangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) oleh kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand hari ini merupakan yang pertama berlaku.

Dalam serangan jam 3.05 pagi itu seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Fauziah, Kangar Perlis.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebelum ini hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.

“Sebelum ini dua kali iaitu pada 12 dan 15 November lalu penyeludup pernah menembak pos kawalan PGA.

“Anggotanya (kumpulan penyeludup) di sempadan menggunakan pistol angin sebagai menakutkan kita selepas terlalu marah dan bertambah agresif dengan tahap kawalan ketat kita di lorong tikus panas itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman malam ini.

Menurut Abdul Hamid, beliau telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed untuk membantu pasukan forensik JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan IPK Kedah menjalankan siasatan lanjut dalam kes tersebut.

“Saya minta kepada mereka untuk tidak terlepas apa-apa prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes ini sekiranya kes ini dibicarakan kemudian dan berpeluang untuk sabitan tinggi apabila mendakwa suspek di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dan berhubung dengan Polis Diraja Thailand untuk mengesan dan menjejak saki-baki penyeludup di sebelah Thailand untuk dibawa ke Malaysia bagi menghadapi proses undang-undang di negara ini. – MalaysiaGazette