Bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah Lapangan Terbang Hamad, Doha pada 2 Oktober lalu didukung oleh seorang pekerja. foto Agensi

DOHA – Qatar telah mengenal pasti ibu bapa kepada seorang bayi yang dibuang di dalam tong sampah di Lapangan Terbang Doha pada Oktober lalu.

Wanita berkenaan dari negara Asia berlepas keluar dari negara berkenaan selepas membuang bayinya, menurut pendakwa raya.

Pihak berkuasa Doha sedang dalam usaha ekstradisi wanita berkenaan.

Ujian DNA mengesahkan bapa bayi berkenaan seorang Asia.

Sebelum ini kecoh beberapa negara melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan lapangan terbang Doha apabila melakukan pemeriksaan secara kasar ke atas para penumpang wanita.

Bagaimanapun, Kerajaan Qatar memaklumkan pemeriksaan itu dilakukan selepas seorang bayi perempuan ditemui dalam beg plastik di dalam tong sampah di lounge berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 2 Oktober lalu.

Penemuan itu mendorong kepada operasi mengesan ibu bapa bayi berkenaan membabitkan para penumpang wanita bagi 10 pesawat.

Pendakwa Raya Qatar telah memfailkan pendakwaan cubaan membunuh dan akan “mengambil tindakan undang-undang yang sesuai dalam kerjasama kehakiman antarabangsa untuk menangkap wanita berkenaan”.

Jika sabit kesalahan wanita tersebut boleh dihukum penjara hingga 15 tahun.

“Siasatan menunjukkan ibu bayi itu seorang warga negara Asia, mempunyai hubungan dengan seorang lelaki, juga warga negara Asia.

“Bapa bayi itu mengaku menjalin hubungan dengan ibu bayi berkenaan dan wanita berkenaan telah mengirim mesej foto bayi yang baharu lahir sebaik sahaja kelahirannya.

“Mesej itu turut menyatakan dia telah meninggalkan bayi yang dilahirkan dan melarikan diri ke negaranya,” menurut pendakwa.

Difahamkan, bapa bayi berkenaan masih di Qatar.

Namun tidak dipastikan sama ada lelaki berkenaan turut didakwa.

Bayi itu kini dijaga oleh pihak berkuasa Qatar. – MalaysiaGazette