Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada unsur DNA babi pada mi kari yang dijual di sebuah premis di Subang Jaya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada unsur DNA babi pada mi kari yang dijual di sebuah premis di Subang Jaya.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Hakim Sulaiman berkata, hasil analisa dan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia yang dijalankan ke atas sampel daging yang diterima mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan dalam daging berkenaan yang digunakan untuk membuat mi kari tersebut.

“Melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

“KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang telah ditetapkan serta tidak sewenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar Hakim menyeru kepada orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman sosial yang boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan.

Ujarnya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat atau menyemak berkaitan dengan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman disarankan supaya menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Setiap aduan mestilah lengkap mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan dan resit jika aduan berkenaan dengan harga dan pembelian, katanya.

Baru-baru ini, kecoh selepas tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual di sebuah premis mengandungi daging babi.

Susulan itu, KPDNHEP membuat pemeriksaan dan merampas bahan mentah berupa daging ayam untuk tujuan dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan halal.

Restoran berkenaan juga mempunyai turut disahkan memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang sah sehingga 30 Nov ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.