Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 312 individu telah ditahan dan dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap daripada mereka telah dikompaun atas kesalahan ingkar PKP.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan lain-lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan sejak 1 Mei hingga 24 November lalu, Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 8,760 pendatang asing tanpa izin (PATI), 798 tekong, dan 360 penyeludup.

“Semalam sahaja, 36 PATI ditahan, seorang tekong dan merampas lima kenderaan darat dan sebuah bot dalam operasi itu.

“Sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga telah dilaksana di seluruh negara, orang ramai boleh hubungi hotline National Task Force di talian 011-625 11223 untuk salurkan maklumat PATI dan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Kawalan Sempadan Negara Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Semua agensi berkenaan dikerah untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Kata beliau lagi, kerajaan tidak akan teragak-agak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegas Ismail Sabri. -MalaysiaGazette