Dua warganegara Colombia ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes seorang mangsa kehilangan wang tunai RM120,000 di dalam kereta baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua warganegara Colombia ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes seorang mangsa kehilangan wang tunai RM120,000 di dalam kereta baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, kedua-dua warga emas itu ditahan di Jalan Telawi, Bangsar.

“Kedua-dua saspek adalah seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 70 tahun, kedua-dua warganegara Colombia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, mereka cuba melarikan diri dan cuba bertindak agresif apabila melihat anggota polis menghampiri kereta Honda City yang mereka naiki namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Siasatan polis kemudiannya mendapati kedua-dua mereka juga dipercayai terlibat dalam tiga lagi kes kecurian wang tunai terhadap mangsa yang baru keluar dari bank sekitar Brickfields.

Kedua-duanya direman untuk siasatan lanjut dan semakan dokumen dilakukan bersama Jabatan Imigresen.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu dalam kejadian kehilangan wang tunai RM120,000 melibatkan seorang lelaki Cina yang baru sahaja mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank di Jalan Klang Lama bersama anaknya pada 20 November lalu.

Selepas itu, dalam perjalanan pulang, tayar kereta Honda Accord yang dinaiki pancit akibat tercucuk besi.

Selepas menukar tayar, baru mereka menyedari beg yang berisi wang tunai serta dokumen miliknya hilang sebelum membuat laporan polis.

Bagaimanapun dalam kenyataan polis tidak dimaklumkan bagaimana modus operandi kedua-dua saspek membawa lari wang tunai milik mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast