Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang didapati negatif dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari boleh merayu untuk memendekkan tempoh  dengan disertakan alasan munasabah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian akan menggunapakai Akta 342 Seksyen 15 (1) yang mana permohonan itu dikemukakan kepada perbincangan satu jawatankuasa selain penilaian risiko akan dilaksanakan ke atas seseorang individu berkenaan sebelum ia diluluskan atau tidak.

Ia berbeza dengan pendekatan kuarantin pandemik itu di negara lain termasuk negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang mengenakan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari sahaja.

“Namun KKM mengambil pendekatan untuk mengenakan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari ke atas seseorang individu itu.

“Kita ada pertimbangan untuk menggunakan Seksyen 15 (1) Akta 342 yang menyebut iaitu seorang pegawai diberi kuasa boleh memerintah supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat bagi apa-apa tempoh yang difikirkan patut atau menjalai pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain.

“Maka berdasarkan peruntukan akta itu, kalau ada permohonan pendekkan tempoh kuarantin wajib dihantar kepada kita dan jawatankuasa akan melihat.

“Kita ada juga memberi pertimbangan untuk memendekkan tempoh contohnya hari ke-12 dan ke-13 berikutan ada yang perlu menduduki peperiksaan atau urusan pernikahan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menjawab ketika ditanya mengenai kriteria KKM memberi kebenaran kepada seseorang individu bagi memendekkan tempoh kuarantin membabitkan mereka yang pulang dari Sabah.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menjelaskan, pihaknya boleh melakukan ujian saringan lebih awal kepada individu balik dari Sabah iaitu hari ke12 atau hari ke 11 berbanding hari ke-13 seperti kebiasaan.

Tambah beliau,  sekiranya hasil ujian saringan itu menunjukkan negatif atau tidak bergejala serta mendapati tiada risiko, maka barulah KKM pertimbangkan menggunakan pertuntukan Akta 342 sebagai pertimbangan.

Namun jelas beliau, sekiranya pihak kesihatan tidak menerima sebarang permohonan pemendekan, individu terbabit masih perlu meneruskan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari seperti diarahkan.

Bagaimanapun beliau menegaskan antibodi Immunoglobulin M (IgM) hanya akan muncul dalam tubuh pesakit pada hari kelima manakala Immunoglobulin G (IgG) pula akan terjana pada hari ketujuh dalam badan dan jika ia tidak dikesan pada hari ke-12, ia juga tidak akan dikesan pada hari ke-13.

“KKM bagaimanapun akan menilai semula tindakan kesihatan awam yang akan dilaksanakan terhadap pengembara pulang dari Sabah apabila penularan kes di negeri ini semakin stabil, kes-kes semakin berkurangan iaitu dari 22 September hingga 25 November ini dan ini perkembangan positif maka inilah sebab kenapa kita stand down.

“Buat masa ini, kes positif baharu di Selangor dan juga di Negeri Sembilan sudah melebihi kes baharu di Sabah hari ini yang mana kes menunjukkan penurunan sekitar 300 kes namun tiada mana-mana individu yang keluar dari kedua-dua negeri itu dikenakan ujian saringan dan perintah kuarantin wajib 14 hari..kita kena imbangkan kaedah kesihatan awam.

“Kita perlu faham Sabah adalah sebuah negeri, ia bukan sebuah negara. Jadi, mereka yang keluar dari Sabah ke Labuan, Sarawak juga ke Semenanjung kita saring dan kuarantin jika negatif,” tegas beliau.- MalaysiaGazette