Keadaan jalan yang tidak berturap dianggarkan kira-kira 5 kilometer yang digunakan setiap hari oleh penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 daripada 101 Projek Jalan Luar Bandar (JALB) Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) telah siap sepenuhnya ketika ini.

Manakala 26 projek lagi dalam fasa pembinaan, 18 dalam peringkat perancangan, 22 fasa pelantikan perunding dan reka bentuk manakala tujuh lagi sedang dalam peringkat perolehan.

Timbalan Menteri Luar Bandar Henry Sum Agong menjawab soalan dikemukakan oleh  Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) mengenai status projek infrastruktur asas luar bandar di Sabah khususnya projek jalan, bekalan api dan bekalan air.

Jelas Henry, untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) pula, sebanyak 15 projek diluluskan dengan kos keseluruhan RM3.06 bilion yang memberi manfaat kepada 9,588 rumah di pelbagai daerah di bawah RMK11.

“Dalam pada itu daripada 15 projek itu, dua projek sedang dalam peringkat pelantikan perunding kajian kesesuaian manakala sembilan dalam fasa pembinaan dan empat projek telah siap sepenuhnya,” katanya.

Kata Henry lagi, untuk BELB Sabah, sebanyak 63 projek sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.04 bilion yang memberi manfaat kepada 34,078 rumah.

“Daripada 63 buah projek itu, 21 dalam peringkat pembinaan, 38 dalam peringkat reka bentuk dan empat projek telah siap,” ujarnya. -MalaysiaGazette