Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang selesai digulung oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat petang ini lulus dengan suara ramai.

Walaupun suasana agak tegang dengan gangguan ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati, kelulusan itu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan tanpa ada undi belah bahagi.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengulas perkara itu berkata, hanya 13 ahli Parlimen pembangkang bangun untuk minta undi belah bahagi diadakan tetapi gagal mendapat kuota sokongan.

“Sepatutnya untuk membolehkan Speaker Dewan Rakyat membenarkan undi belah bahagi diadakan, perlu ada 15 sokongan.

“Bagaimanapun, 13 orang yang mahu (undi belah bahagi), mereka hanya perlukan dua sokongan lagi untuk memenuhi syarat,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Ahmad Maslan menyifatkan, kelulusan itu merupakan kejayaan besar atas muafakat dan perundingan yang baik dari Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) demi rakyat.

“Tengku Zafrul telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.